Diari Tani- Panduan Penanaman Dokong

Ku nak tahu:





Iklim
Pokok Dokong  memerlukan iklim tropika iaitu panas dan lembab di sepanjang tahun.  Ia tahan pada cuaca kering dan musim hujan yang biasa berlaku di negeri pantai Timur.

Pokok dokong agak sensitif di tanah sentiasa dinaiki air bah akan menyebabkan akar menjadi mudah reput.

Tanah
Pokok dokong  tumbuh dengan sesuai ditanam di tanah yang berpasir, mempunyai saliran yang baik dan berkeadaan lembab.  Pertumbuhannya kurang subur di tanah yang menakung air dan mempunyai paras air yang tinggi.

Cara Menanam

Membiak:
Pembiakan tampang bagi dokong  belum lagi diamalkan secara meluas kerana pembiakan begini telah didapati kurang berjaya.  

Cara yang biasa dilakukan oleh petani-petani ialah mengambil anak-anak dokong yang tumbuh sendiri di bawah pokok induk sebagai bahan tanaman.  Anak-anak dokong sesuai ditanam di dusun atau ladang setelah berumur dua tahun.

Menanam:
Jarak tanaman yang disyorkan ialah diantara 9.0 - 12.00 meter.  Selalunya dokong yang tumbuh sendiri hidup subur di celah-celah pokok lain.  Anak-anaknya dibiarkan tumbuh di bawah pokok-pokok yang matang.  Purata jarak di antara pokok yang telah matang dianggarkan sejauh 4.5 meter.

Penjagaan

Naungan:
Pokok dokong memerlukan keadaan yang redup, sejuk dan lembab di sepanjang masa. 

Dusun yang kurang dinaungkan akan merendahkan hasil kerana keadaan yang lapang dan terbuka menyebabkan pokok mudah diserang penyakit matirosot.

Membaja:

Dokong tidak memerlukan penjagaan yang rapi seperti membaja, merumput atau mencantas.  Hasil yang tinggi ditentukan oleh tanah yang subur; kawasan yang sesuai dan naungan yang mencukupi.  

Mungkin pokok-pokok naungan ini membantu memperkayakan baja organan yang terkandung dalam tanah hasil daripada bahan-bahan tumbuhan yang reput.  Bahan baja semulajadi ini seterusnya mengurangkan keperluan baja tambahan bagi pokok dokong.

Memungut Hasil:
Pokok dokong biasanya mula berbuah setelah berumur 12 tahun.  
Pokok dokong berbuah setahun sekali dan kadang-kadang terdapat juga buah di luar musim.  Pokok dokong berbunga dalam bulan Jun dan mengambil masa 4 bulan sehingga buah masak. 
Buah dokong mula dipetik dalam bulan Oktober hingga November.
Hasil yang diperolehi dari satu pokok yang berumur 50 tahun ke atas biasanya ialah 240 - 300 kg (4-5 pikul) semusim.  
Bagi satu pokok buahnya habis di petik dalam masa 2-4 minggu.

Cara Mengutip Hasil:
Waktu mengutip hasil yang paling sesuai ialah di antara pukul sepuluh hingga sebelas pagi dan pukul tiga hingga empat di sebelah petang.  
Pada waktu-waktu ini, buah-buahnya telah kering dari embun dan cuaca yang redup dapat mengelakkan buah dari pecah.  
Pemetik buah terpaksa memanjat dan memetik gugusan-gugusan buah.  
Memetik hendaklah dilakukan dengan berhati-hati supaya tidak mencederakan tampuk buah di dahan-dahan kerana bunga-bunga di musim akan datang akan dikeluarkan di tampuk-tampuk yang sama.  
Buah yang dipetik dimasukkan ke dalam bakul atau kain sarung dan dihulur ke bawah dengan tali.  
Setelah dikumpul, buah yang kurang bermutu atau pecah diasingkan dari buah yang elok dan dimasukkan ke dalam guni-guni untuk dijual kepada peaih atau pemborong.



Penanaman
Dokong boleh dibiak dengan tiga cara, iaitu anak pokok biji, anak pokok cantuman baji dan keratan.

Penyediaan anak pokok dari biji

Buah dari pokok dokong kering berkualiti yang telah dikenalpasti diambil untuk mendapatkan bijinya.  Biasanya sekilo buah akan menghasilkan 4-6 biji yang besar dan bernas.  Hanya buah yang besar dan bentuk tidak seimbang sahaja yang ada biji besar dan dipilih sebagai sumber untuk mendapatkan biji.  

Biji buah dibuang dan bijinya dibersihkan dan disemai dalam kotak pasir yang telah disediakan lebih awal dan diberi rawatan racun kulat.  Biji ditanam sedalam 1 cm dan diletak secara mendatar.  Tutup biji-biji ini dengan pasir dan berikan lindungan dari cahaya matahari.  Siram 2 kali sehari.  Satu biji boleh mengeluarkan lebih dari satu anak pokok.  Dalam tempoh 8-10 minggu, anak pokok yang cergas boleh diasingkan dari pokok kecil lain dalam satu biji dan diubah ke polibeg.  Anak pokok yang masih kecil boleh disemaikan kembali ke pasir sehingga ia mencapai tahap dua helai daun sebelum diubah ke polibeg.  Selepas 8-10 bulan didalam polibeg, anak pokok semaian dokong akan mencapai peringkat umur untuk ditanam, iaitu ketinggian melebih 20 cm dan sekurang-kurangnya 8 helai daun.  Untuk mempercepatkan tumbesaran dan mengurangkan tempoh di dalam polibeg ini, semburan dengan baja foliar seminggu sekali adalah disyorkan.

Penyediaan anak benih secara tampang (cantuman baji)

Semua spesies dalam genus Lansium boleh digunakan sebagai pokok penanti.  Langsat dan duku Kelantan (duku Dewan) merupakan pokok penanti yang paling sesuai.  Pokok penanti berumur 1-2 tahun, mempunyai batang bergaris pusat 6-8 mm serta sihat dan tidak berpenyakit boleh dipilih untuk cantuman baji.  Daun pokok penanti dibuang, batangnya dipotong pada paras lebih kurang 10 cm dari paras tanah dan kemudian dibelah tengah sedalam 2 cm dengan menggunakan pisau tajam.

Pucuk dari pokok dokong kering yang terpilih, bergaris pusat 6-8 mm, mempunyai 3-4 mata tunas, panjang antara 15-20 cm dan sekurang-kurangnya dua helai daun hendaklah digunakan.  Daun besar boleh dikerat supaya tinggal 1/2 - 1/3 saiz asal untuk mengurangkan perpeluhan.  Pucuk yang baik ialah separuh keras.  Pangkal pucuk dipotong runcing sepanjang 2 cm berbentuk 'V'.  Masukkan ke dalam belahan di pokok penanti.  Untuk memastikan kejayaan cantuman, kambium dari pucuk dan pokok penanti mesti bertemu.  Tempat cantuman ini diikat dengan tali rafia dengan kuat.  Siram air hingga polibeg betul-betul lembab.  Tutup dengan beg plastik untuk mengekalkan kelembapan.  Selenggarakan selama 4-6 bulan sebelum ia sesuai ditanam di ladang.


Sekian dulu, terima kasih

PERIBADI

Tanah Bercangkul

Create Your Badge

Halaman Blog Penajaan Perniagaan Anda
Boleh PM saya di FB
https://www.facebook.com/tanah.bercangkul