KU baru tahu:
Iklim
Pokok durian memerlukan persekitaran yang panas dan lembap sama seperti yang terdapat di hutan tropika bagi membantu pertumbuhan vegetif.
Tanaman pokok durian hidup dengan subur di kawasan-kawasan di mana suhunya diantara 27-32oC, mendapat hujan diantara 1,800-4,000 mm setahun, mengalami musim kemarau antara 1-3 bulan, mempunyai peredaran udara dan angin yang baik serta mendapat cahaya matahari sepanjang tahun.
Kelembapan tanah yang diperlukan oleh pokok durian adalah lebih kurang 80%.
Dalam keadaan kelembapan tanah yang tinggi, pokok-pokok durian berupaya menghasilkan pucuk-pucuk baru sekali setiap bulan, berbeza dengan pokok buah-buahan yang lain.
Lebih kurang 90% dari tunas hujung baru berupaya menghasilkan daun baru.
Pada peringkat pertumbuhan vegetatif, anak pokok durian sangat peka kepada keadaan kemarau.
Pengairan diperlukan untuk mengelakkan kematian. Ini adalah kerana sistem akarnya yang sangat cetek dan mudah ketandusan air.
Apabila mencapai peringkat matang pokok durian memerlukan satu jangkamasa musim kering diantara 1-3 bulan untuk mempengaruhi proses pembungaan dan pembuahan tersebut.
Masa yang kritikal bagi perkembangan buah ialah kira-kira 4 minggu selepas bunga kembang. Ini disebabkan pada waktu tersebut, kadar pertumbuhan dan pembesaran buah adalah tinggi. Oleh itu air yang berlebihan menyebabkan pokok menghasilkan pucuk baru.
Keadaan ini menyebabkan wujudnya persaingan untuk mendapatkan bahan makanan antara buah muda dengan daun baru yang boleh menyebabkan buah gugur.
Faktor Tanah
Pokok durian memerlukan tanah yang dalam, subur dan gembur kerana tanah-tanah tersebut mempunyai pengudaraan dan struktur yang baik untuk pertumbuhan akar.
Tanah jenis lom hingga lom berpasir adalah paling sesuai. Tanah jenis lom lempung (clay loam) juga sesuai bagi tanaman durian tetapi memerlukan perparitan yang sempurna kerana durian tidak tahan dalam keadaan air bertakung.
Tanah jenis lom dan lom berpasir banyak terdapat di lereng-lereng bukit.
Walaupun tanah-tanah lom berpasir adalah sesuai untuk tanaman durian, tetapi ia tidak tahan dengan musim kemarau yang terlalu panjang.
Penanaman pokok durian di kawasan yang mengalami kemarau panjang, seperti di Utara Semenanjung, memerlukan sistem pengairan bagi menggalakkan pengeluaran hasil yang baik.
Penanaman
Anak pokok durian memerlukan sedikit lindungan pada peringkat awal tumbesaran bagi mendapatkan pertumbuhan yang subur, cergas dan sempurna.
Adalah disyorkan supaya kawasan ladang ditanam dengan tanaman yang boleh memberikan naungan sementara seperti pisang.
Untuk tujuan demikian, tanaman naungan perlulah ditanam 6 bulan lebih awal daripada tarikh penanaman durian.
Jarak tanaman bagi pisang ialah 3m x 3m.
PEMBAJAAN
Pokok durian yang masih muda seelok-eloknya dibaja 4-6 kali setahun dengan kuantiti baja yang sedikit pada setiap kali pembajaan dilakukan.
Bagi pokok matang pula, kadar baja ditambah dan kekerapan membaja 3-4 kali setahun.
Cara pembajaan yang paling mudah adalah dengan menabur baja di bawah kanopi pokok sehingga terkeluar sedikit dari hujung kanopi.
Teknik ini adalah sesuai untuk kawasan mendatar, di teres atau di tapak gajah. Bagi kawasan yang curam, pembajaan secara poket adalah disyorkan dengan membubuh baja ke dalam lubang sedalam 10 cm yang digali di sekitar kawasan hujung kanopi pokok sebanyak 4 penjuru. Lubang tersebut ditimbus kembali dengan tanah.
Tempoh masa yang paling sesuai membaja pokok durian yang telah matang ialah selepas musim buah sehingga satu bulan sebelum musim bunga.
Masa yang paling sesuai ialah pada awal atau akhir musim hujan agar baja yang diberikan dapat diserap oleh pokok dengan seberapa banyak.
Pembajaan pada musim kemarau perlu dielakkan kecuali sistem pengairan yang baik dapat diwujudkan.
Pengapuran amat penting bagi mendapatkan pH yang optimum bagi tumbesaran pokok durian. Pengapuran adalah disyorkan dengan menggunakan GML (Ground Magnesium Limestone)
PEMANGKASAN
Pokok durian memerlukan cantasan yang bersistematik bermula dari peringkat awal pertumbuhan bagi mendapatkan bentuk pokok yang mempunyai satu batang utama yang tegak ke atas serta banyak dahan primer tersusun seimbang pada batang utama pokok.
Kerja-kerja membentuk pokok hendaklah dilakukan secara berterusan bermula dari 3-6 bulan selepas tanam. Pada peringkat ini dahan-dahan primer yang berlebihan dan bersudut kecil hendaklah dibuang kerana ianya bersaing dengan batang utama dan akan memberi masalah kelak.
Apabila pokok telah membesar, dahan-dahan yang mencecah tanah, terlalu rapat, bertindih dan bersudut sempit hendaklah dibuang.
Dahan-dahan yang berpenyakit juga perlu dibuang dengan segera bagi mengelakkan dari berjangkit ke dahan yang lain.
Dahan perlu dipotong seberapa dekat yang boleh dengan dahan/batang asal. Bekas potongan perlu dirawat dengan racun kulat agar bahagian yang luka tidak dijangkiti penyakit.
Sekian dulu, terima kasih
Berkongsi ilmu, Nyalakan
impian saya, RM 1.00
A/C: CIMB BANK 06080028500526